Monday, May 3, 2010

Mafrel akan memantau pilihan raya kecil Parlimen Sibu

Mafrel akan memantau pilihan raya kecil Parlimen Sibu


April 18, 2010, Sunday




KUCHING: Malaysian for Free and Fair Elections (Mafrel), akan meneruskan peranan sebagai pemantau bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Alhabshi berkata, peng-iktirafan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diperlukan untuk proses pemantauan luar.

Bagaimanapun, proses pemantauan hanya merangkumi kawasan luar penamaan calon, kempen dan luar pusat mengundi berbanding pada masa lepas.

SPR pernah memberi kebenaran kepada Mafrel untuk memasuki tempat-tempat tersebut, termasuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada April 2009.

“Tidak mendapat pengiktirafan daripada SPR bukan bermakna Mafrel terus tidak dapat melaksanakan kerja-kerja pemantauan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau, Mafrel akan mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Sibu selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Pilihan raya Parlimen Hulu Selangor diadakan pada 25 April ini, manakala semalam merupakan hari penamaan calon.

Bagi Parlimen Sibu, SPR menetapkan 16 Mei sebagai hari mengundi, selepas penamaan calon pada 8 Mei.

Mesyuarat Mafrel di Sarawak katanya, antara lain akan membincangkan jumlah petugas diperlukan.

Para petugas itu menurut beliau akan ditempatkan di beberapa kawasan tumpuan yang dikenal pasti kemudian.

“Kawasan tumpuan yang dimaksudkan kami ialah kawasan dijangka wujud persaingan sengit, kawasan panas dan jangkaan timbul keganasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri Datu Takun Sunggah berkata, Mafrel tidak diberi kebenaran untuk memasuki tempat penamaan calon, pengundian dan penjumlahan undi.

“Di Hulu Selangor pun mereka tidak dibenarkan. Begitu juga pilihan raya Parlimen Sibu kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.