Friday, April 23, 2010

PRK Hulu Selangor: Penamaan Calon dan Pesta

PRK Hulu Selangor: Penamaan Calon dan Pesta

18 April 2010

Salam,

"Pertandingan empat penjuru - Pilihan raya kecil Hulu Selangor temukan calon BN, PKR, dua bebas", begitu tajuk berita akhbar Sinar Harian 18 April 2010. Calon BN ialah P. Kamalanathan manakala calon PKR ialah Datuk Zaid Ibrahim. Dua calon bebas ialah V.S. Chandran, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor dan Johan Mohd Diah, AJK Pemuda Umno Shah Alam. Difahamkan kedua-duanya akan dipecat kerana melanggar displin parti melawan calon daripada parti yang sama (BN).

Semalam 17 April 2010 telah berlangsung hari penamaan calon untuk kerusi P094 Parlimen Hulu Selangor tersebut yang telah kosong dengan meninggalkannya Arwah Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR. Seminggu lagi iaitu pada 25 April 2010 ialah hari mengundi, bermakna ada selama 7 hari berkempen. SPR pada kali ini menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi pada hujung minggu. Inilah yang sepatutnya. Memudahkan pemilih untuk keluar mengundi dan memudahkan kemudahan sekolah digunakan tanpa menjejaskan waktu persekolahan.

Rentak dan mood pilihan raya kecil (PRK) lazimnya berbentuk pesta. Sebenarnya bukan hanya PRK kali ini tapi mana-mana PRK pun begitu. Samalah juga situasinya semalam di sekitar Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. Belum pun gendang rasmi kempen dipalu, namun pelbagai program penerangan ala kempen telah dilakukan oleh pihak yang bertanding.

Tinjauan saya dan dua orang teman daripada MAFREL (Malaysians for Free and Fair Elections), Timbalan Pengerusi dan Setiausaha ketika hari penamaan calon, mendapati penyokong Pakatan Rakyat dan BN telah turun beramai-ramai untuk menyaksikan penamaan calon berkenaan. Kesesakan lalu lintas menuju ke pusat penamaan calon dianggarkan sejauh 5-7 km samada dari arah utara mahu pun dari arah selatan. Ini ternyata apabila banyak kenderaan yang terpaksa meletakkan kenderaan di pesisiran jalan lebuhraya utama atau highway 1, jika dari arah utara.

Kami sendiri terpaksa meletakkan kenderaan berhampiran SMAT Kuala Kubu Bharu iaitu kira-kira 3km daripada Pusat Penamaan Calon dan berjalan kaki dari situ. Apabila menghampiri Masjid Jamek Al-Rahimah Kuala Kubu Bharu, kami bertembung dengan penyokong BN yang menjadikan sebuah bangunan bertentangan dengan masjid berkenaan sebagai pusat pengumpulan penyokong sebelum berarak bersama calon. Terdengarlah nyanyian lagu 1Malaysia berkumandang melalui corong pembesar suara. Diulang-ulang...

Oleh kerana jalan terus telah padat, kami meneruskan berjalan kaki mendaki bukit dan mengelilingi pusat penamaan calon yang tidak berapa jelas kelihatan kerana di kelilingi taman dan rimbunan pokok menghijau. Setelah hampir 2 km, kami bertembung pula dengan tempat penyokong PR berhimpun. Juga meriah dengan teriakan dan sorakan. Tidak ketinggalan dari kejauhan terdengar bunyi gendang.

Ketika di sinilah baru kami ketahui bahawa kawasan pusat penamaan calon dibentengi luas dengan kawat berduri. Pada anggaran kami, ianya lebih daripada 50m yang biasanya dihadkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mungkin topografi pusat penamaan calon yang terletak di lembah dan di kelilingi taman menyebabkan pihak PDRM terpaksa membuat liputan kawat berduri yang luas bagi tujuan kawalan yang baik. Mungkin juga bagi tujuan pencegahan demi mengelakkan rempuhan dan pertembungan penyokong yang dijangka ramai.

Namun, pada pendapat kami, pencegahan dan pengawalan tersebut tidak sepatutnya sehingga menjadi penghalang kepada proses penamaan calon. Proses tersebut bukan hanya melibatkan calon, wakil calon, saksi dan pegawai SPR tetapi juga pemilih Hulu Selangor yang berhak memeriksa latar calon di ruang pameran yang disediakan dan membuat bantahan sekiranya perlu.

Pemilih Hulu Selangor khasnya dan penyokong parti (dari kalangan pemilih Hulu Selangor) amnya, perlu diberikan ruang keselesaan untuk melihat nama-nama calon yang dipamerkan dan mengemukakan bantahan sekiranya perlu dalam tempoh masa satu jam yang diberikan iaitu dari jam 10 hingga 11 pagi.

Walaupun tidak dapat membuat pemerhatian secara dekat, kami percaya nama-nama tersebut telah dipamerkan tetapi soalnya di mana dan adakah mudah bagi mana-mana pemilih untuk menelitinya? Berdasarkan pengamatan kami, tidak mudah.

Proses bantahan merupakan salah satu proses penting ketika penamaan walaupun peruntukan masanya pendek. Inilah hak yang diperuntukkan dalam Perkara 7, Peraturan Pilihan Raya 1981 iaitu bantahan boleh dibuat kepada kertas penamaan calon oleh sesiapa yang namanya tersenarai dalam senarai daftar pemilih bagi Kawasan Pemilihan dan oleh mana-mana calon bagi Kawasan Pemilihan. Oleh kerana masa yang pendek itulah, maka proses ini lebih-lebih lagi perlu dipermudahkan tanpa kebimbangan atau ketakutan kepada pembantah. Jika kawat berduri boleh melukakan Shafie Apdal dan Samy Vellu, jika kawalan polis teramat ketat dan jika lalu lintas teramat sesak, apakah hak dan proses ini dapat dilaksanakan dengan baik? Semalam, tiada bantahan telah diterima.

Dalam pada itu, pada pengamatan kami, walaupun terdapat insiden berbalas sorak dan dilaporkan balingan batu dan botol mineral namun kehadiran pihak polis telah berjaya mengawal kehadiran puluhan ribu penyokong dan mengelakkan daripada berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.

Selain daripada itu, kami juga difahamkan terdapat seorang bakal calon, Sdri J. Anuradha yang telah gagal menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon bebas dalam masa yang ditetapkan. Menurut laporan media, beliau telah dihalang berbuat demikian walaupun mempunyai dokumen dan kertas penamaan calon. Di satu pihak lain melaporkan, beliau dan rombongannya tidak memiliki pas khas yang telah dikeluarkan SPR bagi menghantar borang penamaan calon. Beliau ditahan pada kira-kira jam 9.40 pagi dan kemudiannya dibenarkan masuk tetapi tetap gagal menyerahkan borang penamaan kerana melepasi jam 10.00 pagi.

Insiden ini tidak boleh dipandang mudah dan perlu diteliti oleh pihak SPR sekiranya berlaku pelanggaran hak bagi seseorang bakal calon. Pada masa ini pun, seseorang calon perlu menyediakan wang deposit yang besar untuk membolehkannya menjadi calon iaitu RM10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM5,000 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri. Maka tidaklah seharusnya lain-lain proses menghalang seseorang yang cukup syaratnya daripada menawarkan diri sebagai calon.

Seperkara lagi yang menjadi pengamatan kami ialah penggunaan sumber dan jentera kerajaan. Hari penamaan calon dan hari-hari berikutnya sehinggalah hari sebelum hari mengundi ditafsirkan sebagai tempoh berkempen. Dalam tempoh ini, sekiranya penjawat jawatan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri seperti Perdana Menteri, kabinet, Menteri Besar dan EXCOnya terlibat dalam aktiviti kempen maka mereka perlulah melepaskan dirinya daripada kapasiti tersebut termasuklah menghindarkan diri daripada mengambil kesempatan daripada penggunaan sumber dan jentera kerajaan. Ini termasuklah menggunakan kenderaan rasmi, pengiring peronda polis, menggunakan kemudahan awam seperti sekolah dan lain-lain.

Dalam pengamatan kami ketika hari penamaan calon semalam, perkara ini berlaku khususnya yang melibatkan mereka yang berjawatan tinggi. Budaya ini sudah menjadi perkara biasa dalam situasi politik pilihan raya di tanah air kita dan dianggap sukar untuk dicegah. Namun, adakah kerana ia sukar dicegah maka ia tidak menjadi satu kesalahan?

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam Bahagian III, Perbuatan-perbuatan Rasuah menggariskan beberapa perkara yang menjadi kesalahan iaitu Perkara 7, Penyamaran; Perkara 8, Penjamuan; Perkara 9, Pengaruh Tidak Berpatutan dan Perkara 10, Penyogokan manakala Perkara 11, Hukuman dan Ketidakupayaan kerana Perbuatan Rasuah menggariskan hukuman jika disabitkan kesalahan. Ini adalah peruntukan undang-undang dan boleh dikuatkuasakan sekiranya dikehendaki.

Di samping itu, SPR ada mengeluarkan buku Kod Etika Pilihan raya atau Election Code of Ethics yang bertujuan untuk menyemaikan semangat dan sikap serta perlakuan yang baik di kalangan semua mereka yang terlibat semasa pilihan raya.

Perkara 6.2 (a) jelas mengatakan tidak boleh menggunakan bangunan awam untuk perhimpunan politik dan kempen, tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan 6.2 (b) pula menyebutkan tidak boleh menggunakan kenderaan atau alat-alat komunikasi milik kerajaan untuk tujuan berkempen.

Dalam konteks ke arah pilihan raya yang bebas, adil dan telus, semua pihak seharusnya memainkan peranan mematuhi kod etika pilihan raya yang telah dibukukan oleh SPR. Peruntukan undang-undang wujud namun sekiranya tidak ada sesiapa pun yang menghormatinya atau menguatkuasakannya, maka ia tidak memberi apa-apa makna. Dan sekiranya dikuatkuasakan tetapi tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sekali lagi kita tidak akan menzahirkan pilihan raya yang berintegriti, bebas, adil dan telus.

Hari ini sahaja, hari kedua kempen PRK Hulu Selangor, beberapa program yang melibatkan penjawat jawatan kerajaan berjalan di Hulu Selangor. Antaranya ialah:

• RM5.1juta diperuntukkan untuk membantu warga pekebun kecil Selangor. Ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dalam Majlis Pelancaran Tanam Semula Risda di Ulu Rening, Batang Kali
• Peruntukan RM6 juta untuk pembangunan Sekolah Kebangsaan Cina Bkt Beruntung. Diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 16 April ketika upacara pecah tanah sekolah
• Majlis Pelancaran pemasaran e-promosi Homestay di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor oleh Timbalan Perdana Menteri. Turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri di JPM, Datuk Ahmad Maslan

Sudah tentulah mereka yang terlibat akan menafikan bahawa program-program tersebut berupa kempen dan telah dirancang lebih awal sebelum PRK. Dan sebelum apa-apa tuduhan dibuat, kami juga akan menegur pihak lawan, dalam konteks ini Pakatan Rakyat, sekiranya penjawat jawatan Kerajaan Negeri Selangor mengambil kesempatan di atas jawatannya dan program rasmi negeri untuk berkempen. Tidak ada salahnya berkempen dengan bersungguh-sungguh tetapi laksanakanlah dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab.

Pada akhirnya, kesedaran rakyat terhadap proses demokrasi pilihan raya dan hak mereka dalam proses tersebut amatlah penting. Kesedaran rakyat pertamanya, tentang hak dan tanggungjawab mengundi dan keduanya, tentang kebijaksanaan menilai kejujuran parti dan calon yang bertanding. Kesedaran ini harus dipupuk dan ditingkat kepada tindakan supaya proses pilihan raya dapat diperbaiki pada masa akan datang. Yang terdekat ialah PRK Parlimen Sibu pada 16 Mei 2010. PRK yang ke-11 selepas PRU ke-12!

Kita tidak mungkin memperolehi sistem yang sempurna di mana semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan jujur, amanah dan adil, namun tidak ada sesiapa patut rela dengan kaedah dan perbuatan yang keji lagi terkutuk seperti rasuah, berbohong, fitnah, menindas dan salahguna kuasa seolah-olah tidak ada tuhan dan tidak ada hari Kiamat di mana seseorang itu boleh dipersoalkan!

Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi MAFREL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.