Thursday, December 22, 2011

Kenyataan Akhbar - 22 Disember 2011

j

MAFREL (640757-M)

Malaysians for Free and Fair Elections


Lot 300.1, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +6013 3682067 (Chairman)  +6012 2731016 (Hon Secretary)



Kenyataan Akhbar



22 Disember 2011



Respons MAFREL terhadap Cadangan Pembaharuan Proses Pilihan Raya oleh SPR



Suruhan Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengumumkan pada 19 Disember 2011 beberapa pembaharuan dalam proses pilihan raya negara. Antaranya yang disebutkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ialah berhubung penggunaan dakwat kekal, pengundian awal, pemansuhan tempoh bantahan, tempoh tambahan pameran senarai daftar pengundi dan kemudahan untuk pengundi OKU. Menurut beliau, semua perubahan ini akan dilaksanakan dalam pilihan raya umum yang akan datang.



Dakwat Kekal



Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL), Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia menyambut baik penggunaan dakwat kekal yang boleh mencegah pemilih berganda. Saranan ini telah sebenarnya dibuat oleh MAFREL sejak sebelum PRU ke 12 lagi dan kemudian disuarakan pula oleh pelbagai pihak termasuk BERSIH 2.0 sebagai langkah yang paling mudah untuk dilaksanakan untuk mengembalikan keyakinan kepada proses pilihan raya. Namun demikian, harus diingat penggunaan dakwat kekal semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan pilihan raya yang bersih, adil dan telus. Senarai daftar pengundi mestilah diberi tumpuan dan dibersihkan. Apatah lagi dengan adanya pendedahan baru-baru ini tentang wujudnya 42,051 nama pemilih diragui yang mahu dipamerkan oleh SPR untuk tujuan pengesahan oleh pemilih atau waris.



Pengundian Awal



Berhubung pengundian awal, MAFREL berpendapat pendekatan ini baik untuk dilaksanakan dengan memastikan proses pengundian yang sama melibatkan pemantauan oleh agen pengundi dan agen pengira undi diwujudkan di pusat-pusat pengundian awal. Malah kehadiran badan pemerhati atau pemantau terhadap proses ini boleh memastikan proses berjalan dengan baik, apatah lagi jumlah pemilih awal agak besar iaitu seramai 200,000 orang seperti yang disahkan oleh Pengerusi SPR. Namun demikian, MAFREL tidak merasakan ada keperluan untuk pasangan anggota polis, tentera atau pasukan gerakan am untuk turut melaksanakan pengundian awal. Mereka seharusnya melalui proses pengundian yang biasa.







Tempoh bantahan



Cadangan untuk memansuhkan tempoh bantahan berhubung kelayakan seseorang calon yang bertanding pada hari penamaan calon adalah satu cadangan yang teknikal. Apakah sebab perkara ini dicadangkan? Adakah ia menyumbang kepada pilihan raya yang bebas, adil dan telus atau hanya untuk mempercepatkan proses penamaan?



Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian tentang cadangan ini. Pertama, hak untuk membuat bantahan terhadap calon merupakan hak kepada pengundi bagi sesebuah kawasan pilihan raya. Dengan pemansuhan tempoh bantahan ini bermakna hak pengundi telah dinafikan. Tempoh masa yang lebih munasabah sepatutnya diperuntukkan untuk memastikan calon yang layak bertanding dan mungkin terpilih untuk penggal selama 5 tahun.



Kedua, urusan bantahan terhadap pencalonan ini terkandung dalam Perkara 16 (2)(b) dan Perkara 17, Akta Pilihan Raya 1958 yang mana perubahan peraturan terhadapnya perlu diluluskan di dalam Dewan Rakyat. Apakah pihak SPR telah mengkaji aspek ini dan boleh melaksanakannya tanpa kelulusan Parlimen?



Oleh itu, MAFREL berpendapat cadangan ini tidak perlu dilaksanakan. Sebaliknya, cadangan yang lebih tepat untuk dilaksanakan ialah dengan menambah tempoh masa penamaan calon daripada satu jam sekarang kepada satu minggu untuk proses penamaan yang lebih tenang dan semakan yang lebih teliti terhadap calon.



MAFREL memantau PRU ke-13



Di kesempatan ini, MAFREL ingin mengumumkan kesediaan dan persiapannya untuk melaksanakan pemerhatian terhadap PRU ke-13 selari dengan peranannya dalam bekerjasama menyumbang supaya pilihan raya negara menjadi salah satu proses demokrasi yang bebas, adil, telus dan mencerminkan kehendak mandat pilihan rakyat.



MAFREL menggagaskan pilihan raya yang berwibawa, aman, bebas dan adil. Ia berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi dan demokrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perjanjian dan protokol antarabangsa. MAFREL telah terlibat  dalam pemerhatian PRU ke-12, Pilihan raya Negeri Sarawak dan semua pilihan raya kecil dan oleh itu memiliki pengalaman yang luas.



Sehubungan itu, MAFREL ingin mengajak rakyat Malaysia bersama-sama dengan usaha MAFREL dengan menawarkan diri menjadi sukarelawan. Pendaftaran boleh dibuat melalui facebook MAFREL atau kepada Setiausaha MAFREL, Sdr Arphan Ahmad, 012-2731016.



Sekian, terima kasih.



Syed Ibrahim Syed Noh

Pengerusi



Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi:

Pengerusi: Syed Ibrahim Syed Noh – 013-3682067

Timbalan Pengerusi : Kolonel (B) Shaharudin Othman – 019 2344 366

Setiausaha : Arphan Ahmad – 012 273 1016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.