Monday, April 19, 2010

Kenyataan Akhbar19 April 2010

jMAFREL (640757-M)Malaysians for Free and Fair ElectionsLot 300.1, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, 53100 Kuala Lumpur, MalaysiaTel : +6013 3682067 (Chairman) +6012 2731016 (Hon Secretary)
Kenyataan Akhbar19 April 2010

MAFREL Terus Berperanan Memantau Pilihan Raya

Pada hari ini, Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL), Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia ingin mengukuhkan komitmennya untuk terus berperanan dalam memantau pilihan raya negara agar menjadi salah satu proses demokrasi yang bebas, adil, telus dan mencerminkan kehendak mandat pilihan rakyat.

Sehubungan itu, MAFREL ingin mengumumkan misi permerhatiannya terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor yang bermula dengan penamaan calon pada 17 April 2010 dan pengundian pada 25 April 2010. MAFREL seperti biasa akan melaksanakan pemerhatian terhadap beberapa proses pilihan raya iaitu hari penamaan calon, kempen, hari pengundian dan pasca pilihan raya. Tiga orang pemerhati Mafrel telah berada di Kuala Kubu Baru hari Sabtu yang lalu untuk membuat pemerhatian proses penamaan calon. Mafrel juga akan menjalankan pemerhatian terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei 2010.
Seramai lebih daripada 20 orang sukarelawan terlatih akan ditugaskan sepanjang proses pilihan raya tersebut. MAFREL akan memberi tumpuan pemerhatian kepada usaha-usaha memberi atau menawarkan rasuah kepada pengundi-pengundi, penyalahgunaan kemudahan dan jentera kerajaan dan sumber awam serta akan berwaspada di atas kemungkinan berlakunya perbuatan-perbuatan atau tindakan ganas dan merbahaya semasa kempen.

Isu SPR tarik semula pengiktirafan terhadap MAFREL

Di kesempatan ini, MAFREL ingin menjelaskan perkembangan tentang pengumuman Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini iaitu tentang pengiktirafan MAFREL yang telah ditarik semula oleh SPR bagi PRK Hulu Selangor.
Sayugia dijelaskan bahawa pengiktirafan SPR terhadap MAFREL adalah sejajar dengan kehendak peraturan 8 yang memperuntukkan perkataan-perkataan “kecuali atas permintaan”, kehendak peraturan 15 (3) yang memperuntukkan perkataan-perkataan “atau orang-orang lain yang dibenarkan secara bertulis oleh Suruhanjaya Pilihanraya” dan kehendak peraturan 25 (2)(d) yang memperuntukkan perkataan-perkataan “orang yang dibenarkan secara bertulis oleh Suruhanjaya Pilihanraya” di bawah Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981.
Pada setiap kali Pilihan Raya Umum atau PRK, MAFREL perlu memohon mendapatkan kebenaran secara bertulis dari SPR bagi membolehkan pemerhati-pemerhati pilihanraya yang ditauliahkan oleh MAFREL menjalankan pemerhatian terhadap tatacara proses pilihan raya yang merangkumi pemerhatian seperti berikut:

Memerhati tatacara urusan pada hari penamaan dan urusan bantahan terhadap kertas-kertas penamaan seperti mana terkandung dalam peraturan 6 dan 7 di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981;

Memerhati tatacara pengundian seperti mana terkandung dalam peraturan 17, 18, 19, 20, 21, 22 dan 23 di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981;

Memerhati tatacara apabila pengundian ditutup seperti mana terkandung dalam peraturan 24 di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981;

Memerhati tatacara pengiraan undi sepertimana terkandung dalam peraturan 25 dan 25A di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981; dan

Memerhati tatacara penjumlahan rasmi undi-undi seperti mana terkandung dalam peraturan 25D di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981;

Dalam konteks PRK Hulu Selangor, MAFREL sebenarnya belum membuat permohonan kepada pihak SPR tetapi difahamkan melalui media bahawa pengiktirafan tidak akan diberikan. Atas dasar itu, MAFREL telah memohon penjelasan daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz melalui surat yang telah dihantar pada 12 April 2010. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, MAFREL belum menerima apa-apa maklum balas.

Pada masa yang sama, sayugia dijelaskan bahawa pengiktirafan berkenaan hanyalah meliputi kebenaran pemerhatian tatacara penamaan calon dalam pusat penamaan calon, tatacara pengundian dalam pusat mengundi dan tatacara penjumlahan rasmi dalam pusat penjumlahan undi. Ia tidak menghadkan pemerhatian terhadap persekitaran luar pusat penamaan calon, persekitaran luar pusat mengundi, suasana kempen dan persekitaran luar pusat penjumlahan undi. Berdasarkan pengalaman MAFREL yang telah memantau pilihan raya sejak tahun 2004, banyak insiden salahlaku dan pelanggaran pilihan raya yang besar berlaku di luar daripada pusat penamaan calon, pusat mengundi atau pusat penjumlahan undi. Contohnya, permasalahan daftar pemilih yang sering diragui, penyalahgunaan jentera dan sumber kerajaan atau penawaran suapan atau rasuah dalam bentuk wang, material dan projek ‘mee segera’ ketika berkempen selain liputan media yang berat sebelah.

Atas sebab itu, MAFREL tetap terus melaksanakan pemerhatian dan gerak kerjanya demi memastikan pilihan raya yang bebas lagi adil. Namun, MAFREL masih mengharapkan jawapan rasmi SPR tentang status pengiktirafannya. Sekiranya benar pengiktirafan tidak diberikan, MAFREL berharap ianya akan ditimbangkan semula demi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Sebagaimana yang telah saya jelaskan kepada media, sekiranya laporan-laporan yang gagal disiapkan oleh MAFREL menjadi sebab pengiktirafan tidak diberikan maka MAFREL sedia memberi komitmen menyiapkan semua laporan berkenaan sebelum PRK Hulu Selangor.

Amalkan Etika Pilihan raya yang adil dan bebas

MAFREL menggagaskan pilihanraya yang berwibawa, aman, bebas dan adil. Ia berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi dan demokrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perjanjian dan protokol antarabangsa.
Atas dasar ini, MAFREL ingin menggesa parti-parti lawan dan penyokong memainkan peranan melindungi hak-hak pemilih dengan membenarkan mereka merumus dan memutuskan undi mereka secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihanraya. Kebebasan kemahuan dan pilihan pemilih mestilah dihormati.

MAFREL menggesa SPR dan Polis untuk mengamalkan keadilan dan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang proses pilihanraya dengan mengambilkira kepentingan pemilih.

Sekian, terima kasih.

Syed Ibrahim Syed NohPengerusi

About MAFREL

MAFREL is a non-partisan election observation and monitoring organization formed in 2003. Since its inception, MAFREL has conducted electoral rolls verification programmes to research on the issues of phantom voters and authenticity of the electoral rolls in the states of Kelantan, Terengganu, Selangor and Federal Territory of Kuala Lumpur. MAFREL has also extensive experience in election observation and since December 2005, has conducted extensive election observations in the Pengkalan Pasir, Kelantan by-election (December 2005), the 9th Sarawak State Legislative Assembly Elections (2006), the N.6 Batu Talam by-election (2007), the N.8 Machap by-election (2007), the N.11 Ijok by-election (2007). In March 2008 MAFREL received official accreditation from Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) to observe the 12th General Election. MAFREL’s last involvement as accredited observers was in the N.31 Bagan Pinang by-election in October, 2009. MAFREL has also participated in international election observation missions in Sri Lanka, the Philippines, Indonesia, Hong Kong, Afghanistan, Thailand and Bangladesh.
For more information, please contactDeputy Chairman : Colonel (R) Shaharudin Othman – 019 2344 366Honorary Secretary : Arphan Ahmad – 012 273 1016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.